
PARIS: Sejumlah 145 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini telah mengiktiraf penubuhan negara Palestin, dengan Australia hari ini menjadi negara terbaharu mengumumkan sokongan itu di Perhimpunan Agung PBB September nanti.
Perang Israel-Hamas yang tercetus di Gaza susulan serangan kumpulan pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023 telah menghidupkan semula desakan global agar rakyat Palestin diberikan negara sendiri.
Langkah itu memecah tradisi lama bahawa penubuhan negara Palestin hanya boleh dicapai melalui rundingan damai dengan Israel.
Menurut kiraan AFP, sekurang-kurangnya tiga perempat negara anggota PBB kini mengiktiraf atau merancang untuk mengiktiraf negara Palestin, termasuk Perancis, Kanada dan Britain.
Pada 15 November 1988, ketika perjuangan pertama menentang pemerintahan Israel, pemimpin Palestin Yasser Arafat mengisytiharkan secara unilateral penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Pengumuman di Algiers itu dibuat pada mesyuarat Majlis Nasional Palestin, yang turut menerima pakai matlamat penyelesaian dua negara – Israel dan Palestin wujud secara berdampingan.
Algeria menjadi negara pertama mengiktiraf negara Palestin, diikuti puluhan negara lain dalam seminggu, termasuk kebanyakan negara Arab, India, Turkiye, hampir seluruh Afrika, dan beberapa negara Eropah Tengah serta Timur.
Pada 2011, rundingan damai yang menemui buntu mendorong Palestin untuk memohon keahlian penuh PBB.
Walaupun gagal, UNESCO menerima Palestin sebagai ahli penuh pada 31 Oktober tahun itu.
Pada November 2012, Perhimpunan Agung PBB meluluskan penaiktarafan status Palestin kepada ‘negara pemerhati bukan ahli’, sekali gus membolehkan bendera Palestin dikibarkan di ibu pejabat PBB, New York.
Tiga tahun kemudian, Mahkamah Jenayah Antarabangsa menerima Palestin sebagai negara pihak.
Pada 2024, empat negara termausk Jamaica, Trinidad dan Tobago, Barbados serta Bahamas – bersama Armenia mengiktiraf negara Palestin, diikuti empat negara Eropah iaitu Norway, Sepanyol, Ireland dan Slovenia, tiga daripadanya anggota Kesatuan Eropah (EU).
Gelombang sokongan berterusan tahun ini apabila Australia mengumumkan akan mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung PBB, manakala Perancis, Kanada dan Britain merancang langkah sama pada September, dengan beberapa negara lain seperti Malta, Finland dan Portugal turut mempertimbangkan pengiktirafan rasmi.
Sumber: Buletin Tv3