
BANGI, 15 SYAABAN – Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mendakwa Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) akan diberikan tempoh dua bulan untuk melucutkan senjata menerusi badan yang dinamakan “Board of Peace”, ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut laporan Anadolu, Smotrich berkata, “The Board of Peace will issue a two-month ultimatum to Hamas to disarm,” dalam kenyataan yang dipetik akhbar tempatan Israel, Makor Rishon.
Smotrich turut menegaskan bahawa Israel tidak akan menamatkan peperangan di Gaza selagi Hamas belum dimusnahkan sepenuhnya.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak “Board of Peace” berhubung dakwaan yang dibuat oleh Smotrich.
Menteri ekstremis itu turut mendakwa tentera Israel kini menguasai lebih separuh wilayah Gaza.
Beliau juga menyatakan bahawa fasa kedua perjanjian gencatan senjata sepatutnya memfokuskan kepada pelucutan senjata.
Trump sebelum ini mengumumkan penubuhan “Board of Peace” pada 15 Januari sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruhnya berkaitan Gaza, susulan perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 10 Oktober 2025. Badan itu kemudiannya diberi kelulusan melalui Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2803 pada November 2025.
Menurut Rumah Putih, Trump mempengerusikan lembaga tersebut yang disokong oleh barisan eksekutif pengasas terdiri daripada tokoh berpengalaman dalam bidang diplomasi, pembangunan, infrastruktur dan strategi ekonomi.
Walaupun “Board of Peace” ditubuhkan selepas perang genosid Israel di Gaza, piagam badan itu tidak menyebut secara khusus wilayah tersebut, yang kini dihuni kira-kira 2.4 juta penduduk termasuk hampir 1.5 juta orang yang terpaksa berpindah dan hidup dalam keadaan kemanusiaan yang kritikal.
Piagam sama turut memberikan Trump kuasa luas seumur hidup, termasuk hak veto dan kuasa melantik ahli lembaga. Pengkritik menyifatkan struktur ini sebagai satu cubaan untuk memintas peranan PBB.
Fasa kedua perjanjian Gaza memperuntukkan pelucutan senjata Hamas dan kumpulan Palestin lain, pengunduran tambahan tentera Israel dari Gaza serta pelancaran usaha pembinaan semula yang dianggarkan PBB menelan kos sekitar AS$70 bilion.
Fasa pertama sebelum ini melibatkan gencatan senjata dan pertukaran tahanan, termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin. Namun, Tel Aviv dilaporkan terus melanggar perjanjian tersebut hampir setiap hari.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 71,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 orang dalam serangan ketenteraan yang memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Walaupun gencatan senjata dilaksanakan, Israel dilaporkan terus melancarkan serangan, mengorbankan lebih 524 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 1,400 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sumber: Tv Pertiwi