
GAZA, 05 Feb: Tentera Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang maut, selepas mendakwa seorang pegawainya cedera akibat terkena tembakan pihak lawan.
Keganasan berterusan meskipun gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) itu memasuki fasa kedua bulan lalu, dengan Israel dan kumpulan Hamas saling menuduh melanggar perjanjian berkenaan.
Insiden berdarah terbaru itu berlaku tidak lama selepas Israel membuka semula sebahagian lintasan Rafah di sempadan Gaza-Mesir, satu-satunya laluan keluar masuk ke wilayah Palestin yang tidak dikawal Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza, memaklumkan 21 orang terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak dalam beberapa siri serangan, manakala sekurang-kurangnya 38 yang lain cedera.
Agensi pertahanan awam Gaza pula melaporkan, dua lagi individu maut dan lapan cedera dalam serangan ke atas sebuah khemah di tengah Semenanjung Gaza, sementara seorang lagi terbunuh apabila serangan mengenai sekumpulan orang awam di barat Gaza City.
Tentera Israel dalam kenyataannya, berkata serangan berkenaan dilancarkan selepas ‘pengganas melepaskan tembakan ke arah anggota tentera’ pada Rabu, menyebabkan seorang pegawai cedera parah.
Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyatakan rasa terkejut dan berang susulan kematian seorang anggota paramedik yang sedang bertugas, Hussein Hassan Hussein Al-Samiri, dalam pengeboman di kawasan Al-Mawasi, selatan Gaza.
Menurut tentera Israel, satu serangan di selatan Gaza menyasarkan komander platun Hamas, Bilal Abu Assi, yang didakwa mengetuai serangan ke atas kawasan kibbutz semasa serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza.
Tentera Israel turut mengakui menerima dakwaan beberapa orang awam yang tidak terbabit, termasuk seorang petugas perubatan yang cedera dalam serangan itu, sambil menegaskan pihaknya sudah mengambil langkah bagi mengurangkan risiko terhadap orang awam.
Selain itu, tentera Israel juga mendakwa serangan itu turut membunuh Ali Raziana, yang disifatkan sebagai komander Briged Gaza Utara kumpulan Jihad Islam, iaitu sekutu Hamas serta Muhammad Issam Hassan al-Habil dari Hamas, yang dituduh membunuh seorang askar Israel, Noa Marciano, yang diculik pada 7 Oktober lalu.
Seorang penduduk Gaza City, Abu Mohammed Haboush, berkata mereka sedang tidur apabila tiba-tiba kawasan itu dihujani bedilan dan tembakan.
“Kanak-kanak kecil menjadi korban, anak dan anak saudara saya antara yang terkorban. Kami kehilangan ramai pemuda,” katanya.
Imej AFP menunjukkan orang ramai menunaikan solat jenazah di pekarangan Hospital Al-Shifa di Gaza City, dengan beberapa mayat dibalut kain kafan putih.
Menurut agensi pertahanan awam, tiga mayat dibawa ke Hospital Nasser selepas serangan Israel mengenai rumah dan khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan di kawasan Khan Younis, selatan Gaza.
Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohamed Abu Salmiya, dilaporkan berkata 14 lagi mayat turut dibawa ke hospital itu, selain puluhan mangsa cedera.
“Keadaan di hospital-hospital Gaza amat sukar berikutan kekurangan ubat-ubatan serta bekalan perubatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian