
Resolusi mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kelmarin.
Sebanyak 172 negara menyokong resolusi itu dengan tujuh negara menentang iaitu Israel, Amerika Syarikat, Micronesia, Argentina, Paraguay dan Papua New Guinea, lapor BERNAMA.
Lapan lagi negara berkecuali iaitu Ecuador, Liberia, Togo, Tonga, Panama, Palau, Tuvalu dan Kiribati.
Sokongan kuat ahli PBB menggambarkan tentangan dunia terhadap penjajahan Israel yang menghalang rakyat Palestin untuk bebas merdeka.
UNGA mengguna pakai keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengisytiharkan pendudukan Israel di Palestin adalah haram.
Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin mengalu-alukan resolusi itu yang selari dengan Piagam PBB.
Katanya, penghargaan wajar diberikan kepada negara-negara yang menaja dan mengundi resolusi berkenaan ketika Gaza masih bergolak.
“Penting untuk melaksanakan resolusi UNGA itu dengan menerima pendapat nasihat ICJ bahawa pendudukan Israel adalah haram,” katanya.
Kementerian itu turut menggesa negara yang tidak menyokong resolusi tersebut agar mempertimbang semula pendirian mereka dan menyertai majoriti moral selaras undang-undang antarabangsa.
Katanya, Palestin sedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi melaksanakan resolusi berkaitan dan menjadikannya mekanisme yang berkesan untuk tindakan. – Tv Pertiwi
#beritahariini #bumimikraj
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : klik t.me/bumimikraj