
GAZA, 7 MUHARRAM – Sekurang-kurangnya 78 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu tentera Israel di Gaza pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Menurut pegawai hospital, antara mangsa yang terkorban ialah Pengarah Hospital Indonesia, Dr Marwan al-Sultan, yang maut dalam serangan udara ke atas sebuah bangunan kediaman di barat daya Bandar Gaza. Serangan itu turut mengorbankan empat kanak-kanak dan tujuh wanita.
Lebih menyayat hati, isteri dan anak-anak Dr Marwan turut terbunuh dalam serangan berkenaan.
Difahamkan, Dr Marwan merupakan antara sumber utama maklumat berkaitan keadaan rakyat Palestin di utara Gaza sejak perang bermula.
Malah, beliau sering menggesa masyarakat antarabangsa agar mendesak jaminan keselamatan kepada petugas perubatan di kawasan berisiko, termasuk ketika Hospital Indonesia diserang tentera Israel sebelum ini.
Setakat ini, perang Israel telah meragut lebih 56,647 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 134,105 yang lain, manakala lebih 90 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.
Dalam masa yang sama, konflik berterusan itu turut mencetuskan krisis kemanusiaan yang parah, dengan ratusan ribu penduduk kini berdepan keadaan seumpama kebuluran.
Sumber: Tv Pertiwi