
ISTANBUL: Hampir 90 peratus bangunan sekolah di seluruh Semenanjung Gaza mengalami kerosakan atau musnah semasa perang Israel selama dua tahun di kawasan terkepung itu.
Anadolu Ajansi, yang memetik kenyataan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), melaporkan bahawa sekolah yang masih terselamat sebahagian besarnya ditukar menjadi pusat perlindungan.
Dalam satu hantaran di laman X, agensi itu memaklumkan bahawa kini kanak-kanak terpaksa menerima pendidikan di ruang pembelajaran sementara atau melalui platform digital.
“Di seluruh Gaza, hampir 90 peratus daripada semua bangunan sekolah rosak atau musnah semasa perang,” kata agensi itu sambil menambah bahawa pasukannya terus memberikan sokongan pembelajaran meskipun dalam keadaan kemusnahan yang meluas.
Sekurang-kurangnya 591 rakyat Palestin maut dan lebih 1,578 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Perang Israel ke atas Gaza, yang bermula pada Oktober 2023 dan berlarutan selama dua tahun, telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – serta memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.
Sumber: Berita Harian