
BEIRUT: Israel melancarkan beberapa serangan di selatan dan timur Lubnan, dengan tentera Israel menegaskan, mereka menyasarkan infrastruktur Hizbullah termasuk sebuah kompleks ketenteraan.
Gencatan senjata pada November 2024 sepatutnya menamatkan pertempuran lebih setahun antara Israel dan Hizbullah, namun Israel masih meneruskan serangan ke atas Lubnan dan turut mengekalkan kehadiran tenteranya di lima kawasan selatan yang dianggap strategik.
Agensi Berita Nasional Lubnan yang dikendalikan kerajaan melaporkan, beberapa serangan berlaku di kawasan pergunungan di selatan dan timur negara itu.
Tentera Israel berkata, mereka menyasarkan ‘tapak infrastruktur pengganas di beberapa kawasan di seluruh Lubnan’ termasuk ‘sebuah kompleks ketenteraan yang digunakan Hizbullah untuk menjalankan latihan dan kursus’.
“Sebentar tadi, IDF menyerang seorang pengganas Hizbullah di kawasan Taybeh di selatan Lubnan,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan lain.
Serangan itu berlaku ketika jawatankuasa pemantauan gencatan senjata, yang merangkumi Amerika Syarikat (AS) dan Perancis, dijadualkan bermesyuarat pada esok.
Kelmarin, dua orang terbunuh dalam serangan Israel, dengan seorang daripadanya berada di kira-kira 30 kilometer di selatan Beirut.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, kira-kira 340 orang terbunuh akibat serangan Israel ke atas Lubnan sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa.
Sumber: Berita Harian