Operasi Bantuan Di Gaza Berisiko Terhenti Jika Sekatan Israel Berlarutan

NEW YORK, 27 JAMADILAKHIR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan memberi amaran bahawa operasi kemanusiaan di wilayah Palestin, terutama Gaza, berisiko lumpuh jika Israel tidak menghentikan pelbagai halangan, termasuk proses pendaftaran yang disifatkan sebagai “kabur, sewenang-wenang dan sangat dipolitikkan”.

Menurut PBB dan lebih 200 kumpulan bantuan tempatan serta antarabangsa, puluhan pertubuhan bantuan antarabangsa (INGO) berdepan pembatalan pendaftaran menjelang 31 Disember, yang bermakna mereka perlu menghentikan operasi dalam tempoh 60 hari.

“Pembatalan pendaftaran INGO di Gaza akan memberi kesan bencana terhadap akses kepada perkhidmatan asas dan keperluan penting,” menurut kenyataan bersama itu.

INGO mengendalikan atau menyokong sebahagian besar operasi hospital lapangan, pusat penjagaan kesihatan primer, tindak balas perlindungan kecemasan, perkhidmatan air dan sanitasi, pusat pemulihan pemakanan untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut, serta aktiviti kritikal berkaitan pembersihan ranjau.

Walaupun sebahagian INGO didaftarkan di bawah sistem yang diperkenalkan pada Mac lalu, proses pendaftaran semula yang berterusan serta halangan sewenang-wenang terhadap operasi kemanusiaan menyebabkan bekalan keperluan bernilai jutaan dolar, termasuk makanan, barangan perubatan, bahan kebersihan dan bantuan perlindungan, tersadai di luar Gaza dan gagal sampai kepada mereka yang memerlukan.

Perwakilan Israel ke PBB di sini tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen berhubung kenyataan tersebut.

Mengikut fasa pertama pelan Gaza Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, satu gencatan senjata rapuh dalam perang yang berlarutan hampir dua tahun antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas bermula pada 10 Oktober. Hamas membebaskan tebusan, manakala Israel membebaskan tahanan Palestin dan lebih banyak bantuan dibenarkan memasuki wilayah itu.

Bagaimanapun, kumpulan pejuang Hamas mendakwa jumlah trak bantuan yang memasuki Gaza adalah lebih sedikit berbanding yang dipersetujui. Agensi bantuan pula berkata jumlah bantuan yang masuk jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar, selain mendakwa Israel menyekat kemasukan banyak barangan penting.

“PBB tidak akan mampu menampung penurunan operasi INGO jika pendaftaran dibatalkan, dan tindak balas kemanusiaan tidak boleh digantikan oleh pihak lain yang beroperasi di luar prinsip kemanusiaan yang ditetapkan,” menurut kenyataan PBB dan kumpulan bantuan itu.

Kenyataan berkenaan menegaskan bahawa “akses kemanusiaan bukan suatu pilihan, bersyarat atau bersifat politik”, sambil menambah: “Bantuan yang menyelamatkan nyawa mesti dibenarkan sampai kepada rakyat Palestin tanpa sebarang kelewatan lagi.” – REUTERS

Sumber: Tv Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hujan Lebat Tambahkan Lagi Derita Penduduk Di Gaza

Next Post

Israel Kembali Melancarkan Siri Serangan Ke Atas Lubnan

Related Posts