
GAZA: Sekurang-kurangnya 25 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh termasuk 10 di kawasan Zeitoun, selepas tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran, semalam.
Dalam serangan itu, penduduk mendakwa Israel melakukan letupan tanpa henti, manakala pesawat tentera menyasarkan sekurang-kurangnya empat buah sekolah dan beberapa rumah yang dijadikan sebagai tempat perlindungan.
Serangan itu berlaku ketika pegawai kanan Israel dijadualkan tiba di Washington untuk mengadakan rundingan baharu dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sementara itu, tentera Israel turut mengerahkan kereta kebal ke timur kawasan Zeitoun dan menyerang beberapa lokasi di utara Gaza, kawasan yang sebelum ini telah dimusnahkan dalam operasi terdahulu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan tentera Israel mengenai insiden terbabit.
Bagaimanapun, mereka sebelum ini mendakwa kumpulan pejuang Hamas beroperasi dari kawasan kediaman dan ia merupakan tuduhan yang disangkal oleh pejuang Palestin.
Sumber: Buletin Tv3