
BAITULMAQDIS: Tentera Israel akan memperkenalkan satu sistem teknologi baharu bagi menguatkuasakan sekatan pergerakan di wilayah Tebing Barat yang diduduki, membabitkan warganya dan rakyat Palestin.
Menurut media Israel langkah itu bertujuan mengekang peningkatan keganasan oleh peneroka rejim Zionis.
Tentera rejim Zionis memberitahu keputusan itu membolehkan pasukan keselamatan memasang peranti pemantauan teknologi ke atas individu tertakluk perintah pentadbiran yang mengehadkan pergerakan mereka di Tebing Barat.
“Sistem berkenaan akan membolehkan pemantauan terhadap pelanggaran perintah sekatan itu,” katanya semalam.
Memetik laporan Channel 12 Israel, langkah itu diambil susulan permintaan Ketua Agensi Keselamatan Dalam Negeri Shin Bet, David Zini, sebagai maklum balas terhadap peningkatan keganasan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin, di Tebing Barat.
Peranti pemantauan yang akan digunakan merujuk kepada penggunaan gelang elektronik.
Tentera Israel juga akan menguatkuasakan pemakaian peranti sama kepada warga Israel dan Palestin tanpa membezakan mereka.
“Menanggalkan mana-mana peranti pemantauan adalah satu kesalahan yang boleh membawa kepada tindakan jenayah,” katanya.
Untuk rekod, Israel menduduki wilayah Palestin sejak 1967.
Kini lebih 500,000 warga Israel tinggal di sana bersamaan kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Sementara itu, sebuah pertubuhan bantuan guaman Israel, Honenu, yang membantu tahanan daripada komuniti peneroka sayap kanan bertindak mengecam keputusan itu sambil menambah, pihaknya akan mengemukakan rayuan.
Dalam satu hantaran di platform X, pertubuhan itu memetik kenyataan daripada salah seorang peguamnya yang menyifatkan langkah berkenaan sebagai tindakan tidak demokratif yang mengingatkan kepada amalan rejim penindas.
Sumber: Berita Harian