“Kami Sudah Tidak Sabar Tiba Di Gaza” – Peserta Global Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR: “Kami sudah tidak sabar tiba di Gaza kerana kami sedih melihat keadaan penduduk di yang semakin teruk,”.

Demikian kata Pengarah Media Muslim Care Malaysia yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Tuan Asri Tuan Hussein yang kini sudah hampir empat hari dalam bot berlabuh di Teluk Portopalo di Capo Passero.

Tuan Asri berkata mereka dijangka mengambil masa kira-kira 12 hari lagi untuk tiba di Gaza dan mengakui semua peserta sudah tidak sabar tiba di Gaza untuk menyerahkan bantuan.

Katanya, semangat itu sentiasa berkobar dalam diri setiap peserta meskipun mengakui peluang untuk mereka tiba di Gaza adalah tipis.

“Kami bawa makanan, ubat-ubatan dan susu formula untuk bayi di sana. Jadi kalau boleh kami mahu serahkan bantuan secepat mungkin.

“Cuma pada masa sama kita kena akui sebenarnya peluang untuk sampai ke daratan di Gaza itu tipis. 28 misi flotilla sebelum ini, semua tak pernah sampai lagi, disekat,ditahan, dipenjara kemudian dihalau balik. Jadi itulah kemungkinan juga yang akan berlaku ke atas kami,” katanya pada penstriman langsung bersama Harian Metro di Facebook (FB), hari ini.

Tuan Asri berkata setiap sukarelawan menunggu hari meneruskan perjalanan untuk segera tiba di Gaza dan turut memaklumkan perkara itu juga sering menjadi antara topik utama perbincangan mereka.

“Kita berdoalah mudah-mudahan kami dapat sampai. Kalau kita sampai, sudah ada pasukan yang bersedia untuk menguruskan agihan barang kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Kalau kami sampai di darat, berdoalah rakyat Malaysia semua supaya kita dapat memberi bantuan sebagaimana yang kita rancang,” katanya yang turut memaklumkan mereka juga mempunyai pasukan peguam di Israel dan Jordan sebagai persediaan sebarang kemungkinan termasuk jika ditahan.

Menurut Tuan Asri, setakat ini semua peserta misi itu berada dalam keadaan baik dan mereka masih boleh melakukan urusan seperti makan dan solat seperti biasa biarpun dalam keadaan terhad dan tidak selesa seperti di rumah.

“Kita di sini perlu jimat air, kita banyak guna air laut tidak boleh mandi seperti di rumah dan tidur juga di ruang sempit, susah nak makan tetapi kita ada makanan. Di Gaza sudah tidak ada makanan, mereka di sana lagi susah.

“Kita masih boleh guna air tetapi mereka di sana langsung tiada air. Kita masih boleh tidur lagi tetapi mereka tidak, rumah pun tiada dan selepas itu dibom tanpa henti.

“Itu yang saya dapat daripada wakil Muslim Care di sana. Jadi jangan leka ataupun lupa dengan keselesaan yang kita ada, kita kena selalu ingat dengan saudara kita di Gaza,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Tuan Asri berkata, bot Fair Lady dinaikinya bersama aktivis dan personaliti media sosial Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, tiga individu dari Itali dan seorang wanita Maghribi sedang berlabuh di Teluk Portopalo.

Katanya, mereka menunggu pasukan lain dari Tunisia yang mana mereka merancang untuk bergabung di tengah laut bagi meneruskan pelayaran ke Gaza.

“Selagi mereka tidak sampai ke kawasan dijanjikan itu, kami akan menunggu di sini. Difahamkan kami akan bertolak mungkin dua atau tiga jam lagi, tunggu isyarat daripada Tunisia. Mereka sudah mahu sampai, baru kita akan bergerak dari sini.

“Walaupun hanya kami bertiga muslim di atas bot ini namun (semua berjalan lancar) dan kita saling menghormati antara satu sama lain,” katanya memaklumkan bot dinaiki sepanjang 10.5 meter dengan lebar empat meter.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tentera Israel Letupkan Kereta Penduduk Gaza Saat Mereka Berpindah

Next Post

Sepanyol Akan Bantu ICC Isu Genosid Di Gaza

Related Posts