
KUALA LUMPUR: Kesatuan sekerja di Itali memberi amaran akan melancarkan mogok termasuk mendakwa mahu menutup pelabuhan jika kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) yang menuju Gaza diganggu tentera Israel.
Perkara itu didedahkan peserta misi GSF Zainal Rashid Ahmad, 58, yang kini berada di atas salah satu daripada kapal mewakili Sumud Nusantara yang belayar dari Itali ke Gaza sejak semalam.
Menurutnya, kekuatan flotila kali ini bukan sahaja terletak kepada jumlah kapal dan aktivis kemanusiaan, malah turut diperkukuh dengan sokongan Kesatuan Sekerja Pelabuhan Genoa yang bergabung dengan Kesatuan Sekerja Itali yang berikrar mogok jika Israel melakukan sebarang ancaman termasuk serangan.
“Sekiranya mana-mana kapal flotila dari pelabuhan Itali, Sepanyol atau Tunisia ditahan, diganggu, dikurung atau ditangkap, mereka akan melancarkan mogok di pelabuhan.
“Kesatuan sekerja dan pekerja pelabuhan di Itali mengumumkan, jika kapal Global Sumud Flotila diganggu Israel, ‘pembalasan’ mereka adalah mogok akan dilaksanakan.
“Semua barangan berkaitan Israel atau negara penyokongnya tidak akan diturunkan di pelabuhan Genoa,” katanya menerusi perkongsian video di media sosial.
Lebih mengejutkan, katanya, kesatuan sekerja di Itali turut menghantar seorang wakil sebagai perisai manusia yang kini berada di atas kapal bersama delegasi Malaysia dan antarabangsa yang lain.
“Sekiranya Israel ingin melakukan sesuatu, kami ada rakan baru mewakili Kesatuan Sekerja Itali dan pekerja pelabuhan Genoa.
“Jika dia diganggu, isyarat akan dihantar kepada kesatuan sekerja di Itali untuk melancarkan boikot, menutup pelabuhan dan menghentikan operasi,” katanya.
Pada jam 3 petang semalam waktu Itali atau jam 9 malam waktu Malaysia, panji Sumud Nusantara kumpulan B dari Itali memulakan pelayaran ke Gaza dalam misi kemanusiaan wilayah Semenanjung Gaza.
Zainal yang juga wartawan dan pempengaruh media sosial berkata, difahamkan sejumlah 17 kapal dari Itali akan bergabung dengan lebih 40 kapal di Lautan Mediteranean; gabungan kumpulan A dan C dari Sepanyol dan Tunisia membentuk armada GSF ke Gaza.
Sumber: Buletin TV3