
TEL AVIV: Tahap kepercayaan penduduk Israel terhadap pemimpin rejim Benjamin Netanyahu kini berada pada paras hanya 40 peratus, menurut tinjauan terbaharu yang dikeluarkan oleh Institut Demokrasi Israel (IDI). Statistik ini mencerminkan perpecahan yang semakin mendalam dalam penduduk Israel di tengah-tengah perang berterusan di Gaza.
Tinjauan tersebut, yang dijalankan bulan lalu semasa hari-hari terakhir konflik dengan Iran dan dilaporkan oleh media Israel, menunjukkan rakyat lebih percaya kepada tokoh keselamatan tertinggi negara berbanding pemimpin politik.
Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir, menduduki tangga teratas dengan kadar kepercayaan 68.5 peratus, diikuti oleh Pengarah Mossad, David Barnea, dengan 67 peratus.
Walaupun dalam kalangan rakyat Yahudi Israel, hanya 46 peratus menyatakan mereka mempercayai Netanyahu. Manakala dalam kalangan warganegara Palestin di Israel, kepercayaan terhadap Netanyahu hanya mencatat 10 peratus.
Menteri Pertahanan, Israel Katz, mencatatkan tahap kepercayaan yang lebih rendah berbanding Netanyahu, dengan hanya 35 peratus responden menyatakan keyakinan terhadapnya.
Keputusan tinjauan ini mencerminkan tekanan politik domestik yang semakin meningkat terhadap kepimpinan Netanyahu, khususnya dalam mengendalikan krisis keselamatan dan konflik berterusan di wilayah Palestin. AL JAZEERA
Sumber: Buletin Tv3