
GAZA, 6 RAMADAN – Penduduk Gaza menyambut Ramadan tahun ini dalam suasana pilu apabila ratusan imam, khatib dan guru al-Quran terkorban dalam perang dua tahun akibat serangan Israel.
Menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza, seramai 312 imam, pendakwah dan tenaga pengajar agama terbunuh sepanjang perang tersebut. Dalam tempoh sama, sebanyak 1,050 daripada 1,275 masjid musnah sepenuhnya manakala 191 lagi rosak sebahagian.
Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk terpaksa menunaikan solat di khemah yang dibina di atas runtuhan masjid atau di bangunan yang rosak. Suasana Ramadan yang sebelum ini meriah dengan tazkirah dan kuliah agama kini jauh berbeza.
Ketua Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Al-Thawabteh berkata, serangan itu bukan sahaja memusnahkan bangunan, tetapi turut menghilangkan tokoh agama yang menjadi pembimbing masyarakat.
“Ramadan kali ini, rakyat Palestin kehilangan suara-suara yang sebelum ini menghidupkan malam dengan bacaan al-Quran dan khutbah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan 20 anggota komuniti Kristian di Gaza terbunuh selepas rumah ibadat mereka turut menjadi sasaran serangan.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa Palestin melaporkan lebih 72,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 171,000 lagi cedera. Kira-kira 90 peratus kemudahan awam juga dilaporkan rosak.
Walaupun gencatan senjata diumumkan, Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan masih berlaku pelanggaran yang menyebabkan ratusan lagi terbunuh dan cedera.
Antara tokoh agama yang terkorban ialah Yousef Salama, bekas Menteri Wakaf Gaza dan pernah menjadi khatib di Masjid Al-Aqsa. Beliau terbunuh dalam serangan udara pada 31 Disember 2023.
Turut terkorban Wael Al-Zard, imam Masjid Omari Besar di Gaza, yang meninggal dunia selepas cedera dalam serangan ke atas rumahnya pada Oktober 2023.
Walid Owaida, pegawai kanan dalam bidang tahfiz al-Quran di Gaza, serta Nael Masran yang dikenali dengan khutbah menyeru kesabaran rakyat Palestin, juga antara yang terkorban dalam serangan berasingan.
Walaupun kehilangan besar ini, rakyat Gaza tetap meneruskan ibadah di masjid yang masih ada atau di khemah sementara, sebagai tanda keteguhan mempertahankan agama dan identiti mereka.