
KAHERAH: Ribuan penduduk Palestin menyerbu sebuah pusat agihan bantuan di Gaza dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Mereka tidak menghiraukan dakwaan bahawa Israel menggunakan teknologi pengimbas muka dan bacaan biometrik bagi mengesan anggota serta penyokong Hamas, dalam kalangan orang ramai yang mendapatkan bantuan.
Kebanyakan yang datang dilihat amat terdesak dengan kesan-kesan kebuluran mula ketara selepas semua bekalan disekat sejak 2 April lalu.
GHF memaklumkan, kira-kira 8,000 kotak makanan bersamaan 462,000 hidangan berjaya diagihkan selepas sekatan selama 11 minggu oleh Israel ke atas wilayah yang dilanda peperangan itu.
Di Rafah, bandar selatan yang kini dikuasai sepenuhnya tentera Israel, ribuan orang termasuk wanita dan kanak-kanak berjalan kaki dan sebahagiannya menaiki pedati ditarik keldai, berpusu-pusu ke lokasi agihan yayasan itu bagi mendapatkan bantuan makanan.
Rakaman video memaparkan barisan panjang penduduk berjalan melalui laluan berpagar menuju ke kawasan lapang yang menempatkan timbunan bantuan.
Kemudian, beberapa imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan berlaku sedikit kekecohan apabila pagar itu dirobohkan apabila orang ramai bersesak untuk memasuki kawasan berkenaan.
Israel dan GHF mendakwa pejuang Hamas cuba menghalang orang awam daripada mendapatkan bantuan di pusat agihan itu. Bagaimanapun, Hamas menafikan tuduhan berkenaan.
Pada hari yang sama, Pejabat Media Hamas menuduh tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin dan mencederakan 46 lagi berhampiran salah satu pusat bantuan, sementara tujuh individu masih dilaporkan hilang.
Jurucakap GHF bagaimanapun menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai sama sekali tidak benar.
Yayasan itu turut menjelaskan bahawa jumlah penerima bantuan terlalu ramai hingga pasukannya terpaksa berundur sementara untuk membolehkan orang awam menerima bantuan dengan selamat dan mengelak kejadian tidak diingini.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tiada tembakan dilepaskan dan operasi disambung seperti biasa.
Setakat ini, tiada kenyataan balas daripada pihak Israel berhubung dakwaan yang dibuat Hamas.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan rakaman orang ramai berasak mendapatkan makanan itu sebagai ‘sungguh menyayat hati’.
PBB dan beberapa agensi bantuan antarabangsa lain memboikot GHF atas alasan ia menjejaskan prinsip bantuan kemanusiaan yang seharusnya diagihkan secara bebas daripada pengaruh mana-mana pihak yang terbabit dalam konflik serta berdasarkan keperluan.
“Bantuan kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan atau dijadikan senjata,” kata jurucakap utama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Christian Cardon.
Di New York, jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata PBB dan rakan kerjasamanya mempunyai pelan kukuh ‘untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk yang amat terdesak’ dengan lebih berkesan berbanding GHF.
Katanya, Israel masih membenarkan bantuan disalurkan, namun berdepan pelbagai halangan. – REUTERS
Sumber: Buletin Tv3
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj