Rundingan Gencatan Senjata Gaza Perlukan Lebih Masa – Qatar

DOHA: Qatar yang menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata Israel dan Hamas memberitahu lebih banyak masa diperlukan bagi meneruskan inisiatif itu walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyuarakan keyakinan terhadap kemungkinan tercapainya titik persefahaman.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari mengesahkan perbincangan dan rundingan tidak langsung sedang berjalan dan memasuki hari ketiga bermula Ahad lalu, selepas 21 bulan pertempuran di Gaza.

“Saya tidak fikir dapat memberikan sebarang jangka masa ketika ini, tetapi saya boleh katakan, kita perlukan masa untuk rundingan ini,” katanya.

Sebelum ini, Trump, yang giat mendorong ke arah gencatan senjata Isreal dan Hamas, melahirkan keyakinan satu perjanjian boleh dicapai.

Qatar, yang bertindak sebagai orang tengah atau perantara bersama AS dan Mesir, memaklumkan pertemuan di Doha ketika ini memberi tumpuan kepada rangka kerja rundingan.

Bagaimanapun, seorang pegawai Palestin yang terbabit secara langsung dalam rundingan menyatakan belum ada sebarang kemajuan yang dicapai setakat ini.

Bagaimanapun, Majed enggan mengulas lanjut mengenai butiran rundingan, namun menjelaskan ia menumpukan kepada kerangka perbincangan.

“Apa yang berlaku sekarang ialah kedua-dua delegasi berada di Doha, kami sedang berbincang dengan mereka secara berasingan mengenai kerangka rundingan.

“Setakat ini, kami sedang bercakap dengan kedua-dua pihak mengenai kerangka tersebut dan wujudnya ‘pembabitan positif’. Pasukan perundingan bagi kedua pihak belum meninggalkan ibu negara Qatar dan ini juga adalah ‘petanda yang baik’.

Utusan khas Trump, Steve Witkoff, dijangka akan menyertai rundingan di Doha minggu ini.

Rundingan antara Israel dan Hamas dimulakan pada hari Ahad lalu, dengan wakil kedua-dua pihak duduk di bilik berasingan dalam bangunan yang sama.

Sementara itu, Witkoff berkata, AS menyatakan harapan tinggi bahawa satu perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas dapat dimuktamadkan menjelang hujung minggu ini, selepas kemajuan ketara dicapai dalam rundingan yang berlangsung di Doha.

Beliau berkata, hanya tinggal satu isu utama masih belum diselesaikan daripada empat isu yang dibincangkan dalam rundingan tidak langsung yang memasuki hari ketiga.

“Kita kini dalam fasa rundingan tidak langsung, dan daripada empat isu, hanya tinggal satu yang masih belum dimuktamadkan. Kami optimis satu perjanjian akan dicapai sebelum hujung minggu ini,” katanya kepada media di White House, di sini, pada Selasa.

Witkoff turut memaklumkan, perjanjian itu bakal menyaksikan pembebasan 10 tebusan rakyat Israel serta pemulangan sembilan mayat, dan yakin ia boleh membuka laluan kepada keamanan berkekalan di Gaza. – AFP

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Zionis Terus Mengganas, Penduduk Gaza Dibunuh Sesuka Hati

Next Post

Dunia Hadapi Krisis Kemanusiaan Yang Baharu

Related Posts