Siri 27 | Madrasah Yusuf Di Balik Jeriji: Bagaimana Al-Quran Menjadi Penyelamat Jiwa Pejuang Di Penjara Israel

Sepanjang 2 tahun lebih perang Taufan Al-Aqsa kita telah menyaksikan melalui liputan media bagaimana kekejaman rejim Zionis dalam menyembelih saudara-saudara kita di sana. Perkara yang sudah lebih 80 tahun berlalu saban hari kepada saudara kita di sana oleh penjajah Zionis.

Tapi pernahkah kita terfikir bagaimana keadaan saudara kita di penjara sana?

Satu tempat tertutup yang penuh di bawah kawalan dan kuasa tentera rejim kejam Zionis? Tanpa ada satu pun liputan media?

Apakah yang terjadi di sana? Bagaimana keadaan saudara kita di sana?

Ada satu temu bual oleh abang kepada Solah Al-Ja’farawi, seorang wartawan yang telah syahid. Nama abangnya ialah Naji Al-Ja’farawi. Beliau menceritakan pengalamannya ketika ditahan selepas serangan ke atas Hospital Al-Shifa pada perang Taufan Al-Aqsa yang lalu.

Beliau mulakan cerita sejak mula detik beliau ditangkap. Beliau berada di hospital ketika itu kerana masalah batu karang dan pundi hempedu. Ketika sedang dirawat, tiba-tiba tentera menyerbu hospital sekitar jam 2:30 pagi tarikh 6 Ramadhan.

Letupan, tembakan, dan bunyi roket memenuhi ruang hospital. Pengumuman melalui pembesar suara kedengaran bahawa hospital telah dikepung sepenuhnya.

Sesiapa sahaja yang bergerak akan ditembak.

Orang yang berada di kawasan luar hospital sama ada ditangkap atau terus dibunuh. Mereka yang berada di dalam bangunan pula dipaksa berkumpul.

Pesakit, doktor dan jururawat dikurung bersama dalam satu bahagian hospital.
Sekitar 150 pesakit dan lebih 20 kakitangan perubatan terperangkap di dalamnya.

Dalam keadaan itu, mereka bukan sahaja menghadapi ketakutan, tetapi juga penderitaan yang sangat berat. Makanan dan air hampir tiada. Elektrik tiada, manakala ubat-ubatan habis.

Selama tiga hari, Naji sendiri tidak minum setitik air walaupun beliau pesakit buah pinggang yang sangat memerlukan air.

Akhirnya seorang doktor memberinya sedikit iaitu hanya satu penutup botol.
Bayangkan lebih 171 orang berkongsi hanya 12 botol air sahaja.

Makanan pula lebih menyedihkan. Selepas dua hari tanpa makanan, mereka diberikan tin kecil jagung atau kacang.

Setiap orang hanya mendapat satu sudu sahaja. Itulah makanan untuk satu hari, kadang-kadang untuk dua hari.

Keadaan pesakit semakin buruk. Ramai yang tidak dapat bergerak kerana baru menjalani pembedahan atau mempunyai besi pembedahan dalam anggota badan mereka. Ada yang mengalami luka yang semakin membusuk sehingga muncul ulat kerana tiada rawatan.

Di hadapan Naji sendiri, 13 pesakit meninggal dunia kerana kekurangan oksigen dan rawatan perubatan.
Doktor dan jururawat hanya mampu melihat tanpa dapat membantu.

Dalam masa yang sama, bunyi tembakan dan letupan tidak pernah berhenti. Sepanjang 24 jam, mereka mendengar dentuman bom, bunyi tembakan, dan jeritan orang yang diseksa.

Siling bangunan jatuh sedikit demi sedikit. Kaca tingkap pecah dan bertaburan ke atas mereka. Namun mereka tidak boleh bergerak kerana sesiapa yang bergerak berisiko ditembak.

Di tengah keadaan ini, tentera juga membawa anjing ke dalam bangunan untuk menakutkan para tahanan.

Pada satu ketika, mereka membawa sekumpulan remaja berumur sekitar 13 dan 14 tahun. Anak-anak ini ditanggalkan pakaian mereka dan dibiarkan berdiri dalam hujan dan kesejukan untuk tempoh yang lama. Apabila mereka dibawa kembali, tubuh mereka sudah kebiruan kerana terlalu sejuk.

Semua ini berlaku di hadapan para pesakit yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Namun ada satu kisah yang paling menyentuh dalam pengalaman penjara ini berkaitan dengan Al-Quran.

Kadang-kadang kita membaca Al-Quran dalam keadaan yang sangat selesa. Kita membacanya di rumah yang tenang, di masjid yang nyaman, atau ketika Ramadhan dalam suasana ibadah yang damai. Tetapi ada yang berpegang kepada Al-Quran dalam keadaan yang jauh lebih berat, ketika mereka berada dalam penjara, diseksa, kelaparan, dan berhadapan dengan kematian setiap saat.

Dalam satu kejadian, seorang pemuda ingin meletakkan Al-Quran berhampiran pintu.

Dia tidak mahu melemparkannya kerana menghormati kitab Allah. Jadi dia memanjangkan tangannya sejauh mungkin untuk meletakkannya dengan perlahan di lantai.
Tetapi tindakan itu membuatkan para tentera marah.

Mereka menarik tangannya dengan kasar sehingga kedua-dua tangannya patah.
Sebabnya hanya satu iaitu dia tidak melemparkan Al-Quran.

Peristiwa ini menggambarkan betapa dalam keadaan penuh penindasan itu, masih ada orang yang mempertahankan kehormatan Al-Quran walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang besar.

Dalam satu lagi pengalaman semasa disoal siasat, Naji menceritakan bagaimana beliau dipukul sehingga darah keluar dari mulut dan hidungnya. Darah itu mengalir ke lantai bilik siasatan.
Bukannya simpati yang diberikan.
Sebaliknya penyiasat menjadi lebih marah.

Dia menjerit: “Bagaimana kamu berani mengotorkan lantai dengan darah kamu?”
Lalu pukulan menjadi semakin kuat.

Dalam keadaan itu, Sheikh Naji berkata bahawa manusia sebenarnya tidak mampu mengawal fikiran atau hatinya ketika diseksa sedemikian rupa. Tetapi sesuatu yang datang secara spontan kepadanya ialah mengingati Nama-nama Allah.

Beliau mula menyebut:
“Ya Kafi…
Ya Sattar…
Ya Qayyum…”

Beliau mengulanginya berkali-kali.
Zikir itu menjadi tempat bergantung ketika tiada siapa lagi yang boleh membantu.

Itulah kesan tarbiyah Al-Quran yang beliau terima sejak kecil. Beliau berkata bahawa ketenangan yang orang lihat padanya hari ini bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.

Ia adalah hasil lebih 30 tahun dididik dengan Al-Quran dan Sunnah.

Akhirnya selepas berbulan-bulan dalam tahanan, beliau dibebaskan. Tetapi kebebasan itu juga datang bersama kesedihan yang mendalam.

Ketika beliau keluar dari penjara, beliau mendapat berita bahawa adiknya, wartawan Saleh Al-Jafarawi, telah syahid. Jenazah adiknya dikebumikan hanya satu jam sebelum beliau dibebaskan.

Beliau tidak sempat melihat wajah adiknya buat kali terakhir. Bahkan tidak sempat menghadiri solat jenazahnya.

Namun di sebalik semua kesedihan itu, beliau menemui satu ibrah tarbawi yang sangat besar iaitu bagaiman kuatnya iman seseorang hasil daripada Al-Quran.

Kisah ini bukan sekadar kisah penderitaan. Ia adalah peringatan bahawa Al-Quran bukan hanya kitab yang kita baca dalam keadaan senang.

Al-Quran adalah kekuatan yang menghidupkan hati manusia bahkan di tempat paling gelap, di dalam penjara, di tengah penderitaan dan penyeksaan oleh musuh Allah.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sembilan Pegawai Polis Gaza Terkorban Dalam Serangan Udara Israel

Next Post

Serangan Israel Di Tebing Barat Ragut 16 Nyawa Termasuk Ibu Mengandung

Related Posts