
WASHINGTON, 16 Jamadilakhir 1446H, Rabu – Sebuah keluarga Palestin memfailkan saman terhadap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berhubung sokongan Washington terhadap tentera Israel ketika perang di Gaza yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan.
Saman itu difailkan lima warga Palestin yang tinggal di Gaza, Tebing Barat, dan AS.
Pemohon utama adalah seorang guru dari Gaza yang telah dipindahkan sebanyak tujuh kali dalam perang dan beliau kehilangan 20 ahli keluarganya.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS, Columbia itu mendakwa, Jabatan Negara di bawah kelolaan Setiausaha Negara, Antony Blinken secara sengaja meneruskan pembiayaan dan sokongan terhadap unit tentera Israel yang melakukan kekejaman di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel.
Undang-undang Leahy menghalang pemberian bantuan ketenteraan AS kepada individu atau unit pasukan keselamatan yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan tidak dibawa ke muka pengadilan.
Washington menghadapi kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana terus menyokong Israel tanpa sebarang perubahan dasar yang ketara.
“Kegagalan Jabatan Negara untuk melaksanakan Undang-undang Leahy dengan sengaja adalah sangat mengejutkan berikutan peningkatan luar biasa pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober 2023,” kata saman tersebut.
Perang Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 45,000 nyawa, menurut kementerian kesihatan tempatan.
Serangan Israel juga telah menyebabkan hampir seluruh 2.3 juta penduduk Gaza terpaksa melarikan diri dan mencetuskan krisis kelaparan. – Agensi
Ismaweb
#beritahariini #bumimikraj
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : klik t.me/bumimikraj