
RAFAH: Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan lebih 90 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan berhampiran pusat bantuan yang disokong Amerika Syarikat (AS) di kawasan Al-Alam, Rafah, pada Selasa.
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Awam Gaza, kejadian melibatkan tembakan dari kereta kebal dan dron tentera Israel terhadap orang awam yang tidak bersenjata.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal memberitahu agensi berita AFP, mangsa sedang menunggu bantuan makanan apabila serangan berlaku.
Tentera Israel pula mendakwa mereka melepaskan tembakan ke arah suspek yang mengabaikan tembakan amaran.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyifatkan pembunuhan penduduk Palestin yang sedang mencari bantuan makanan sebagai “tidak boleh diterima”, manakala Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB mengutuk serangan terhadap orang awam sebagai “jenayah perang”.
Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), angka korban adalah sama, namun tanpa menyatakan punca serangan.
ICRC turut memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan dengan “skala dan kekerapan insiden korban besar-besaran yang belum pernah terjadi sebelum ini.”
Insiden berlaku kira-kira satu kilometer dari pusat yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), organisasi yang disokong oleh AS dan bekerjasama dengan Israel dalam mekanisme pengagihan bantuan baharu.
Namun begitu, PBB dan beberapa pertubuhan bantuan utama menolak untuk bekerjasama dengan GHF atas kebimbangan bahawa ia mungkin mempunyai kaitan dengan kepentingan ketenteraan Israel.
Sumber: Buletin Tv3
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj