Masa Depan Palestin Bergantung Kesatuan Dan Solidariti Negara Islam

MALAYSIA sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi untuk membantu Palestin dengan menyatakan kesediaan menerima 15 pejuang kemerdekaan Palestin yang dibebaskan Israel bagi menjayakan salah satu syarat perjanjian gencatan senjata di Gaza diusahakan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS). Hal ini dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa mengambil bahagian dan menyokong perjuangan Palestin mendapatkan kemerdekaan sejak sekian lama dan keputusan itu dilihat memadai serta tidak membebankan negara.

Mohamad berkata, semua pejuang terbabit ditahan Israel sejak 20 hingga 30 tahun tanpa sebab dan bicara. Mereka tidak lagi dibenarkan pulang ke Palestin sekiranya dibebaskan kelak.

Tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk solidariti konkrit dalam isu Palestin. Ini bukan kali pertama Malaysia bertindak berani membantu rakyat Palestin yang tertindas sejak sekian lama.

Pada tahun lalu Malaysia memberikan sokongan kepada Palestin ketika sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague. Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyatakan kekaguman dan penghargaan rakyat Palestin kepada Malaysia dalam sidang media diadakan pada 4 Mac 2024.

Malaysia dalam menyampaikan kenyataan lisan pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di ICJ pada Februari 2024 mendesak Israel menghentikan semua pencabulan dilakukan dan berundur serta-merta dari wilayah Palestin diduduki.

Mohamad yang menyampaikan kenyataan itu menyenaraikan empat elemen substantif utama hak untuk menubuhkan negara sendiri bagi rakyat Palestin iaitu hak terhadap integriti wilayah, hak terhadap kesatuan wilayah dan perlindungan terhadap integritinya, hak terhadap kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber semula jadi serta kebebasan untuk menikmati pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.

Hak Palestin dinafikan Israel, sekutu

Semua elemen adalah hak Palestin yang dinafikan Israel dan sekutu-sekutunya sejak sekian lama. Inilah yang menjadi punca konflik antara Palestin dan Israel. Ia diburukkan lagi dengan serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023. Kekejaman Israel itu mengorbankan sekurang-kurangnya 49,000 orang penduduk Palestin dan lebih 200,000 lagi cedera.

Sejarah hitam Palestin bermula apabila kerajaan Turki Uthmaniyah dikalahkan tentera Britain pada Disember 1917. Palestin yang berada di bawah naungan Uthmaniyah jatuh ke tangan Britain secara rasmi pada 1918, iaitu selepas Perang Dunia Pertama.

Kejatuhan Palestin dirancang dengan begitu rapi atas sokongan kuat Britain yang menyokong penubuhan sebuah negara untuk orang Yahudi di Palestin. Hal ini dapat dilihat melalui Deklarasi Balfour pada 2 November 1917.

Deklarasi ini menyebutkan dengan jelas kerajaan Britain menyokong penubuhan negara untuk bangsa Yahudi di Palestin dan pihak Britain akan memastikan kewujudan negara berkenaan.

Sejak itu bermulalah perpindahan secara besar-besaran orang Yahudi ke Palestin di bawah naungan Britain sehingga 1947. Kesinambungan daripada pendudukan itu juga menyaksikan Britain menempatkan wakilnya di Palestin dan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. Kejatuhan Palestin disempurnakan dengan penubuhan negara Israel pada 15 Mei 1948.

Konflik Israel-Palestin bermula seawal menjelang kelahiran Israel pada 1948 yang mana lebih 750,000 rakyat Palestin ‘dibersihkan’ dari rumah mereka oleh tentera Zionis. Peristiwa ini dikenali sebagai Nakba atau malapetaka. Perang Enam Hari pada 1967 menyaksikan 300,000 lagi rakyat Palestin dipindahkan.

Konflik yang berlaku ini berterusan dan lazimnya berakhir dengan kerugian di pihak Palestin. Rakyat mereka semakin tertindas dan wilayah semakin mengecil. Peperangan 2023 adalah terburuk setakat ini dan masih belum berakhir.

Peperangan ini dianggap sebagai paling tidak berperikemanusiaan dalam sejarah moden manusia. Peperangan ini menyasarkan wanita dan kanak-kanak kerana 70 peratus mangsa adalah golongan ini.

Wilayah Gaza dan Rafah menjadi ‘padang jarak padang tekukur’. Hospital, sekolah, rumah dan segala kemudahan dimusnahkan tentera Israel. Tiada lagi bekalan air bersih, elektrik dan bahan makanan. Gaza tidak lagi sesuai untuk didiami manusia. Kini mereka mula diancam kebuluran dan sekurang-kurangnya terdapat 20 orang dilaporkan mati kebuluran.

Krisis kemanusiaan meruncing

Tidak ada perkataan dapat menggambarkan krisis kemanusiaan sedang berlaku di Palestin, ia sangat meruntun jiwa dan perasaan. Gencatan senjata bermula 19 Januari lalu dicabuli Israel dengan serangan terbaharu mengorbankan 400 rakyat Palestin yang kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Justeru, negara Islam perlu menyatakan solidariti memberikan tekanan kepada Israel untuk menghentikan penghapusan etnik sedang berlaku. Solidariti dimaksudkan seharusnya bukan sekadar mengutip derma untuk tabung Palestin atau mengadakan demonstrasi jalanan semata-mata, sebaliknya melakukan sesuatu yang lebih tegas dan konkrit.

Adalah sangat mengecewakan apabila dua bilion umat Islam di seluruh dunia hanya melihat kekejaman Israel dari kejauhan dan terus berdiam diri membiarkan Gaza diranapkan Israel sekali lagi.

Dunia Islam perlu sedar masa depan Palestin bergantung kepada solidariti mereka dan keupayaan menghentikan serangan ganas Israel. Pada masa sama, masyarakat dunia yang cintakan keamanan dan dan mendukung prinsip kemanusiaan perlu bersama-sama menggiatkan usaha menghentikan serangan ganas Israel terhadap rakyat Palestin.

Ditulis oleh Pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia
Terbitan: Berita Harian

Disiarkan: 03 April 2025

#artikelpalestin

Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Negara Arab Patut Gunakan Kuasa Ekonomi Untuk Beri Tekanan Terhadap Trump

Next Post

14,000 Bayi Di Gaza Berisiko Mati Dalam Tempoh 48 Jam – PBB

Related Posts

Mereka Yang Hina Di Sisi Allah SWT

Link video: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=943934452610348&id=630358917301238 Berbohonglah mereka yang berkata ingin mempertahankan saudara Muslim mereka di Rohingya, Palestin atau Uighur sedangkan…
Read More