Negara Arab Patut Gunakan Kuasa Ekonomi Untuk Beri Tekanan Terhadap Trump

SEBAHAGIAN umat Islam mula berasakan saudara seagama di Gaza kini berada dalam keadaan paling lemah, sama seperti negara Arab dan Islam berjiran.

Akibatnya, timbul anggapan mengangkat ‘bendera putih’ hingga penduduk Gaza mahupun negara Arab wajar menghentikan perjuangan kemerdekaan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis.

Dengan kata lain, wujud usaha membudayakan sikap pasif dan menerima dominasi rejim Zionis serta sekutunya sama ada daripada aspek politik, ekonomi dan budaya.

Sekiranya kita melihat sirah dan sejarah Islam, hampir semua peperangan disertai Nabi Muhammad SAW bersama sahabat dalam keadaan bilangan tentera sedikit dan tahap kekuatan persenjataan lebih lemah.

Dengan izin Allah SWT, kebanyakan kemenangan di pihak Rasulullah SAW.

Selepas kewafatan Baginda, khalifah pertama, Sayidina Abu Bakar RA berhadapan hampir seluruh wilayah Arab yang menyertai golongan murtad, kumpulan nabi palsu dan penolak kewajipan membayar zakat.

Namun, dengan semangat jihad dan keimanan tinggi, pasukan Abu Bakar mencapai kemenangan walaupun terpaksa melalui pertempuran sengit.

Pada zaman Umawiyyah pula, pembukaan Andalusia oleh Thariq Ibnu Ziyad dan 12,000 tentera Islam berhadapan pasukan musuh diketuai Roderic berjumlah 100,000 orang.

Ia berakhir dengan kemenangan besar umat Islam yang menyebabkan pembukaan lebih banyak kota dan wilayah dalam Andalusia hingga kerajaan Islam bertapak sekitar 800 tahun.

Pada zaman moden, kita menyaksikan pejuang Algeria mengalahkan Perancis, askar Vietnam menewaskan Amerika Syarikat (AS) dan Afghanistan turut menyebabkan AS berundur selepas 20 tahun penjajahan.

Hakikatnya, perkiraan utama bukan kepada bilangan tentera dan kekuatan persenjataan, tetapi kekuatan iman dan kesanggupan berjuang.

Ini sebenarnya terbukti apabila pejuang di Gaza bertempur dalam keadaan serba kekurangan dari aspek bilangan tentera mahupun kelengkapan senjata selama 19 bulan.

Mereka tiada kekuatan serangan udara atau sistem pertahanannya, tentera bantuan luar, askar upahan dan tidak mempunyai perbelanjaan ketenteraan bernilai berbilion dolar AS seperti dimiliki Zionis.

Dalam serba kekurangan itu, kekuatan pejuang Gaza diakui sendiri musuh. Bekas Jurucakap Pasukan Pendudukan Israel (IOF), Daniel Hagari pernah menyebut: “Idea melenyapkan Hamas sebenarnya hanyalah ilusi, satu taktik untuk mengalih perhatian dan memperdaya masyarakat umum.”

Bekas Setiausaha Amerika Syarikat ketika era Joe Biden, Anthony Blinken menegaskan Hamas tidak boleh ditewaskan melalui pendekatan ketenteraan semata-mata dan apa berlaku di utara Gaza menjadi bukti nyata kerana Hamas merekrut anggota baharu sebanyak mana yang gugur atau hilang.

Kenyataan terbaru bekas pegawai IOF, Yisrael Ziv pula menyebut ‘Hamas membangunkan taktik pertempurannya’ sambil menegaskan penghantaran tentera ke Gaza meningkatkan risiko kecederaan.

Ketika itu, pejuang di Gaza giat melaksanakan operasi ketenteraan terhadap musuh dari utara di al-Syujaiah hingga selatan, al-Jenainah, Rafah.

Helikopter tanpa henti mengambil tentera rejim Zionis tercedera dari Gaza untuk dibawa keluar.

Kalaulah ada gabungan ketenteraan negara Islam, ratusan ribu askar boleh dikumpulkan dan pesawat udara serta kereta kebal boleh digunakan, pasti rejim Zionis boleh dikalahkan.

Jika mahu mengelak konfrontasi ketenteraan, sekurang-kurangnya berilah ugutan kepada musuh dan sekutunya. Namun, apa berlaku di rantau Arab hari ini sebaliknya, Presiden AS, Donald Trump yang negaranya bertanggungjawab menaja berbilion dolar Amerika dari segi persenjataan yang membolehkan rejim Zionis meneruskan genosid ke atas Gaza, disambut dengan pesawat udara pengiring dan rundingan pelaburan bernilai AS$600 bilion (RM2.6 trilion).

AS dibebani hutang berbilion dolar

Rundingan pelaburan itu sepatutnya boleh digunakan sebagai leverage’ atau syarat kepada gencatan senjata, keamanan dan nasib anak di Gaza yang kini diancam kebuluran.

AS sebenarnya dibebani hutang berbilion dolar dan dikalahkan China dari aspek ekonomi, justeru mereka memerlukan sekutu kuat ekonomi.

Apatah lagi, AS gagal menghentikan serangan dari Yaman yang jauh lebih miskin, malah terpaksa berdepan banyak siri serangan Yaman ke atas aset ketenteraan mereka di Laut Merah.

Malah, Arab Saudi dan negara Arab jauh lebih maju dan mencapai kekayaan luar biasa, manakala tidak kurang hebatnya dari sudut ketenteraan. Ditambah kelebihan geografi dan minat umat Islam terhadap perjuangan jihad yang sentiasa membara.

Sebaliknya, mereka menggunakan alasan kononnya ada Houthi di belakang, Iran di kiri dan Turkiye di depan, sedangkan semua itu alasan demi kepentingan geopolitik dan kuasa.

Hakikatnya, sumber ancaman paling besar ialah rejim Zionis yang melancarkan serangan terhadap negara Arab dan Islam melepasi sempadan serta undang-undang antarabangsa.

Kita tidak tahu hubungan negara Arab dengan rejim Zionis pada masa depan. Boleh jadi mereka akan bersetuju menyertai Perjanjian Abraham di bawah Trump dalam keadaan Gaza masih dikepung dan dibantai. Semoga hal ini tidak menjadi kenyataan yang menambah luka kepada umat Islam dan dunia.

Tuntutan supaya negara Arab bertindak lebih tegas terhadap Trump bukanlah ekstrem atau melampau, tetapi tuntutan syarak demi anak di Gaza dan kesucian Masjid al-Aqsa.

Sumber: Berita Harian

#artikelpalestin

Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Atlet Berbasikal Paralimpik Palestin Maut Dalam Serangan Israel Di Gaza

Next Post

Masa Depan Palestin Bergantung Kesatuan Dan Solidariti Negara Islam

Related Posts